PUTRAJAYA, 1 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri di Seri Perdana semalam.

Kenderaan yang membawa Menteri Besar dan Ketua Menteri dilihat memasuki
perkarangan kediaman rasmi perdana menteri itu mulai 5 petang.

Antara yang kelihatan ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz
Tun Mahathir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar
Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron,
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Terengganu
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman
dan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan.

Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan Datuk Seri
Noh Omar selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Pertemuan itu difahamkan berkisar perkembangan politik semasa negara.

Turut hadir pada pertemuan tertutup itu ialah Naib Presiden UMNO yang juga
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf
Yusoh.

Sementara itu, lebih 40 wakil media berkampung di perkarangan pintu masuk Seri Perdana bagi
membuat liputan pertemuan tersebut.

Shahidan, ketika selesai majlis berkenaan ditanya mengenai tujuan dan perkara yang dibincangkan
dalam pertemuan itu, hanya berkata, “macam-macam”. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY