KUALA LUMPUR, 23 April  – Maaf…… Syarikat penerbit rancangan ‘Sukan Tak Sentral’  memohon maaf kepada  Watson Nyambek kerana mempersenda nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara itu.

“Saya mewakili  Primeworks Studios Sdn Bhd, syarikat penerbit rancangan Sukan Tak Sentral bagi pihak TV3 dan TV9 dengan rendah diri memohon maaf kepada Watson Nyambek gara-gara mempersenda nama baik ayah beliau,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Datuk Ahmad Izham Omar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat tersebut telah memberi peringatan kepada semua kakitangan mereka agar sentiasa peka dan sensitif dalam setiap rancangan yang diterbitkan.

Katanya pihaknya  juga akan membuat kajian semula terhadap  kaedah serta kerja operasi syarikat  bagi  mengelak kejadian serupa daripada berulang.

“Kami amat menghormati saudara Watson, ayah dan keluarga beliau. Saudara Watson adalah seorang jaguh pecut negara serta atlet yang telah banyak berjasa dan mengharumkan nama negara.

“Kami sekali lagi dengan rendah diri ingin memohon maaf atas kesilapan kami dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” kata Ahmad Izham.

Sementara itu ketika dihubungi Bernama untuk mendapat penjelasan lanjut, beliau berkata Primeworks Studios sedang  mengadakan perbincangan  dalaman bagi menentukan bentuk tindakan yang boleh  diambil terhadap pengacara program itu.

“Esok kita akan dapat lebih kata sepakat mengenai perkara ini,” tambahnya.

Watson dilaporkan  kecewa dengan siaran televisyen itu yang menghina mendiang bapanya dalam program yang disiarkan malam tadi.

Bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu merasa terhina apabila stesen berkenaan menyamakan bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu dengan binatang. – WD MY