JAKARTA, 9 April – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata
prinsip wasatiyyah adalah kunci bagi memelihara umat Islam seluruh dunia daripada
terjerumus dalam gejala ekstremisme.

Menurutnya, prinsip itu bukanlah rekaan manusia tetapi Allah telah menggelarkan
umat Islam sebagai Ummatan Wasata iaitu umat yang terpilih lagi adil seperti
yang disebut dalam kitab suci al-Quran dan Islam menentang segala bentuk
ekstremisme.

“Gejala ekstrimesme wujud sekurang-kurangnya dalam dua bentuk iaitu aliran
yang beranggapan Islam sebagai serba longgar sehingga melupuskan keaslian dan
jati dirinya serta aliran yang menghayati Islam secara serba sempit sehingga
umatnya muncul dalam bentuk yang kasar dan jumud,” kata beliau ketika merasmikan
Muzakarah Ulama dan Pendakwah Malaysia–Indonesia 2015 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kedua-dua aliran ekstremisme itu telah menyimpang daripada
ajaran Islam sebenar serta memecah-belahkan perpaduan umat selain membentuk
persepsi yang salah terhadap Islam sehingga mewujudkan gejala Islamophobia
di peringkat global.

Katanya Islam tidak pernah menganjurkan mahupun menyokong sebarang bentuk
keganasan kerana ia satu jenayah sedangkan Islam adalah agama yang sejahtera dan
mensejahterakan manusia.

Beliau berkata ketika negara Barat sedang melihat umat Islam sebagai
pengganas, terdapat pula golongan yang menggelar diri mereka sebagai Islamic
State (IS) menampilkan suatu fenomena yang begitu dahsyat dan ganas dengan
menyerang orang awam daripada kalangan Muslim dan bukan Islam serta membunuh
tahanan perang sewenang-wenangnya.

“Perlakuan ini tiada asasnya dalam Islam dan jenayah terrorisme mereka
adalah untuk menundukkan masyarakat awam dengan kekerasan dan keganasan,”
katanya.

Muhyiddin juga berkata dalam usaha membanteras gejala ekstrimisme seperti
itu, khazanah keilmuan para ulama serta dinamika metodologi para pendakwah di
Malaysia dan Indonesia harus dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

“Umat Islam di Malaysia dan Indonesia perlu berdiri teguh atas prinsip
wasatiyyah iaitu mengambil sikap pertengahan atau tidak melampau dalam amalan
agama seperti yang dituntut oleh ajaran Islam sebenar,” katanya.

Beliau berkata prinsip wasatiyyah yang disebut dalam al-Quran tidak
menghalalkan pelampauan, kekerasan mahupun ketaksuban dan tidak pula
melonggarkan mahupun mencuaikan agama sehingga menyebabkan penyimpangan atas
nama agama.

“Saya percaya bahawa kefahaman dan amalan tentang prinsip wasatiyyah
mestilah disebarkan kepada umat seluruhnya. Para ulama dan pendakwah di rantau
nusantara ini berperanan untuk memastikan agar umat Islam tidak terjebak dengan
gejala ekstremisme menerusi bimbingan tradisi keilmuan para ulama muktabar Ahlus
Sunnah wal Jamaah,” katanya.

“Sebagai menteri pendidikan, saya melihat sistem pendidikan Islam di
Malaysia yang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan formal, merupakan
kaedah terbaik untuk menyebarluaskan kefahaman Islam yang sebenar kepada
masyarakat.

“Penularan pengaruh ekstremisme boleh dikawal menerusi penggunaan kurikulum
dan silibus pendidikan Islam yang standard berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal
Jamaah yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY