LONDON, 9 Nov – Tarik Minat…….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan dipelopori Malaysia telah menarik minat United Kingdom yang menyatakan hasrat untuk membantu mempromosikan pendekatan itu di peringkat antarabangsa bagi menangani masalah keganasan.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu dinyatakan kepada beliau oleh
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri UK Amber Rudd dalam satu pertemuan di
pejabatnya di sini pada Selasa.
“Mereka pada dasarnya sanggup untuk bersama-sama dengan Malaysia untuk
menganjurkan konvensyen wasatiyyah ini di UK sendiri.
“Ini pada hemat saya, satu pengiktirafan atas usaha yang telah dibuat oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mempromosikan pelaksanaan
amalan dan kehidupan Islam mengikut ajaran Islam sebenar dengan mempraktik aspek
kesederhanaan di dalam ibadah kita,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Dalam perbincangannya dengan Rudd tentang konsep kesederhanaan itu, Timbalan
Perdana Menteri berkata beliau antara lainnya mencadangkan agar seorang Mufti
peringkat UK dilantik untuk mencari persamaan antara pengikut beberapa mazhab di
UK supaya beberapa program kesederhanaan dapat diterjemahkan di UK.
Mereka juga bertukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama termasuk
kegiatan keganasan dan langkah-langkah menangani masalah itu termasuklah
program deradikalisasi yang digunakan oleh Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rakan sejawatannya dari
UK itu juga telah mencadangkan supaya Malaysia menjadi tuan rumah kepada
Konvensyen Global Mengenai Penderaan Kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau akan meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk menyiapkan kertas cadangan
untuk kelulusan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. – WD MY