TANAH RATA, JAN 22:UNDI AWAL…. Hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang melibatkan 247 orang bermula hari ini (Selasa) pada jam 8 pagi.

Seramai 232 orang akan mengundi di bilik maklumat Balai Polis Brinchang sehingga jam 5.30 petang dan 15 orang lagi di Balai Polis Sungai Koyan sehingga jam 2 petang.

Pihak polis menjangkakan lebih 90 peratus pengundi awal yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis dijangka akan menunaikan tanggungjawab.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supt Ashari Abu Samah pada Isnin berkata, seramai 247 pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam undi awal itu merangkumi mereka yang masih berkhidmat, telah bertukar lokasi kerja, bersara dan meletak jawatan atau dibuang kerja.

PRK Cameron Highlands akan menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran, Barisan Nasional (BN) Ramli Md Nor dan dua calon BEBAS iaitu Wong Seng Yee serta Sallehudin Ab Talib.

PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas Parlimen dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan Manogaran dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.-MY WD