SHAH ALAM,OGOS 4:SEPI…SEPI… meriah di Jalan Sungai Kandis di sini dengan penyokong Barisan Nasional (BN) dan PKR berkumpul di laluan menghala ke Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis iaitu satu daripada 19 pusat mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Penyokong BN yang berdiri di kedua-dua belah laluan dilihat bertepuk tangan dan melaungkan sokongan kepada calon mereka sebaik kenderaan membawa Datuk Lokman Noor Adam melalui kawasan itu.

Beberapa penyokong PKR pula berkumpul di dalam khemah di laluan sama tidak jauh dari kelompok penyokong BN itu manakala bendera kedua-dua parti berkibar di jalan berkenaan.

Laungan “Hidup BN” kedengaran lantang ketika Lokman memasuki pusat mengundi di Sungai Kandis pada jam 9.05 pagi tadi.

Walaupun laungan dan sokongan jelas kedengaran, situasi dalam pusat mengundi dengan lima saluran itu tenang dan teratur.

Penduduk di Sungai Kandis tidak mengira latar belakang sudah kelihatan beratur di sekolah itu sejak jam 7. 30 pagi lagi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing apabila waktu mengundi bermula jam 8 pagi.

Sehingga kini tiada laporan kekecohan dan perkara tidak diingini dilaporkan.

Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, seramai 2,017 pemilih berdaftar bakal mengundi di pusat mengundi itu. Bagaimanapun, setakat jam 10 pagi, tidak ramai yang dilihat memasuki pusat mengundi berkenaan.

Seorang pengundi, Jenam Amat, 79, datang ke pusat mengundi berkenan dengan anak-anaknya walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Kita mesti menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan menunaikan hak kita untuk mengundi. Terpulang nak mengundi siapa sebagai wakil rakyat kerana tiada gunanya untuk kita menyesal jika kita tidak berpuas hati dengan wakil rakyat yang dipilih.

“Saya berharap wakil rakyat kami adalah seorang yang bekerja keras untuk kebaikan kawasan ini dan penduduknya tanpa rasa takut atau berpihak,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Seramai 51,217 pengundi biasa di Sungai Kandis berpeluang menunaikan tanggungjawab mereka di 19 pusat mengundi dengan 109 saluran yang disediakan selepas ia dibuka pada jam 8 pagi tadi sebelum tempoh tamat pada jam 5.30 petang nanti.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun kira-kira jam 9 pagi tadi manakala Lokman, 45, dan calon Bebas, K Murthy, 60, bukan pengundi berdaftar di kawasan itu.-MY WD