LUNDU, 5 Feb – Bantu….. Ahli keluarga Datuk Amar Jamilah Anu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu berkampung di kawasan itu sepanjang tempoh berkempen hingga hari pengundian.

Anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan berkata beliau bersama ahli keluarga termasuk adik-beradiknya membantu kempen itu memandangkan ibunya masih dalam tempoh edah kematian suami.

Katanya mereka berkempen mengikut perancangan yang dibuat oleh jentera pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN Sarawak.

“Insya-Allah memandangkan ibu masih dalam tempoh edah, saya, adik-beradik yang lain serta ahli keluarga akan turun berkempen membantu,” katanya.

Azizul yang merupakan anak bongsu Jamilah dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, berkata strategi kempen yang dirancang termasuk penggunaan media sosial.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan PBB, BN serta anggota parti yang hadir memberikan sokongan dan kempen kepada ibunya.  – WD MY