PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kerajaan Johor dan Persekutuan membolehkan semua janji kepada pengundi Parlimen Tanjung Piai ditunaikan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, faktor berkenaan wajar menjadi pertimbangan pengundi sekali gus memastikan PH mengekalkan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 15 November ini.

“Kemenangan PH bermakna janji boleh ditunaikan kerana kami jadi kerajaan di Johor dan Pusat, tetapi kemenangan calon Barisan Nasional (BN) melalui MCA kalau menang, tak boleh buat apa-apa.

“Ini kerana (parti lawan) tidak boleh tukar kerajaan Johor dan Pusat. Kita harap pengundi ambil kira perkara ini dan beri undi kepada PH,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, PH mempunyai peluang untuk menang pada PRK Parlimen Tanjung Piai, namun jentera parti mesti bekerja kuat.

“Saya sendiri akan turun pergi ke Tanjung Piai untuk berkempen,” katanya.

Ditanya sama ada kenyataan calon PH, Karmaine Sardini yang didakwa diputar belit pembangkang, kononnya beliau tidak akan memperjuang nasib pekebun kelapa sawit di Tanjung Piai, Dr Mahathir berkata, ia bukan faktor yang akan menjejaskan sokongan pengundi.

Karmaine semalam, menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau tidak akan memperjuang nasib pekebun kelapa sawit di Tanjung Piai.

Karmaine dilaporkan berkata, kenyataannya dalam ceramah cuba diputar belit bagi dijadikan bahan kempen kotor, selain bertujuan menghasut pengundi.

“Saya tidak cakap pun pekebun sawit tidak bersyukur dengan harga sawit ketika ini, saya cakap walau banyak mana pun kita dapat, kita harus bersyukur.

“Saya tidak rasa kenyataan itu mengguris hati pekebun kecil di sini kerana memang kita harus bersyukur dengan rezeki diperoleh,” katanya. – WD MY