SEREMBAN, 22 Sept – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani, Nogeh anak Gumbek berkata produk herba serta rempah-ratus berpotensi
untuk dikembangkan ke pasaran global dengan memanfaatkan sepenuhnya kekayaan
sumber biodiversiti negara.

Beliau berkata herba mempunyai kegunaan meluas terutama bagi penghasilan
produk bernilai tinggi dalam industri makanan dan minuman kesihatan,
farmaseutikal, ubatan tradisional, penjagaan kesihatan, perisa, pewarna dan
pewangi serta pengeluaran minyak pati untuk kegunaan kosmetik dan perubatan.

“Rempah-ratus melibatkan tanaman aromatik seperti serai, buah pala dan halia
digunakan sebagai perisa dalam industri kulinari dan ramuan. Ia juga digunakan
sebagai bahan mandian dan minyak urut dalam industri penjagaan kesihatan dan
kecantikan,” katanya.

Nogeh ditemui media pada program lawatan kerja beliau ke projek tanaman
sayur-sayuran dan serai di Kampung Lenggeng dan Kampung Daching dekat hari
ini.

Dalam pada itu, Nogeh berkata berikutan kawasan tumpuan projek pertanian itu
memerlukan pembangunan kawasan baharu, kejayaannya memerlukan penglibatan dan
sokongan pelbagai pihak terutamanya kerajaan negeri.

“Ini kerana kawasan itu adalah di bawah kawalan pihak-pihak berkaitan,”
katanya.

Nogeh berkata kementerian berharap dengan kerjasama kerajaan persekutuan
dan negeri, akan dapat memastikan produktiviti sektor pertanian dipertingkatkan
dengan pengeluaran hasil yang berkualiti dan selamat untuk dimakan.

“Justeru, saya menyeru agar pengawai kementerian bersama jabatan dan
agensi berkaitan terutamanya Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan serta Jabatan
Perkhidmatan Veterinar akan melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa
tempatan (PBT) secara giat dalam menggerak dan seterusnya memperluaskan
pelaksanaan program tanaman serai, buah pala dan halia ini,” katanya.
-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY