KUALA LUMPUR, 5 Dis – UMUM….  Pihak United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) dan The FinLab mengumumkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah menamatkan Program Jom Transform dijangka mencatatkan peningkatan produktiviti sehingga 30 peratus menerusi pendigitalan.

Kedua-dua syarikat itu berkata skim tersebut merupakan program transformasi perniagaan pertama di Malaysia untuk membantu perniagaan tempatan mendigitalkan operasi mereka bagi memacu produktiviti dan pertumbuhan perolehan.

Mereka berkata semasa program selama tiga bulan itu, 16 PKS yang menyertainya memperoleh kemahiran transformasi digital dan pengetahuan seperti menstrukturkan semula perniagaan dan pemasaran digital.

Daripada 16 PKS yang mengambil bahagian, 12 PKS melaksanakan ujian rintis ke atas penyelesaian untuk meningkatkan pengurusan perniagaan teras mereka melibatkan pembayaran gaji, sumber manusia dan perakaunan.

Automasi ke atas semua proses itu dijangka membantu pekerja mengurangkan masa yang dihabiskan untuk menjalankan proses pentadbiran secara manual sebanyak 30 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata program itu membuktikan komitmen pihaknya membantu PKS Malaysia mendigitalkan perniagaan untuk mereka mencatatkan pertumbuhan dan produktiviti berterusan.

“Program ini direka untuk membantu PKS Malaysia mengubah operasi mereka kepada secara digital dan kami gembira mengumumkan ia telah mencapai matlamat ini.

“Setelah selesai program tiga bulan ini, 16 PKS terpilih kini dapat menggunakan penyelesaian digital untuk mengoptimumkan proses aliran kerja mereka, meningkatkan jualan, melonjakkan kesetiaan pelanggan dan jenama mereka akan lebih diketahui,” katanya.

Jom Transform dianjurkan bersama UOB Malaysia dan The FinLab, pemecut inovasi di bawah United Overseas Bank Ltd.

Program itu turut disokong oleh lima rakan strategik termasuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Maxis, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd serta SME Corporation Malaysia. – WD MY