BAGAN DATUK, 8 Julai – Profesional…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam yang mengarahkan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP adalah profesional dan berdasarkan undang-undang.

Ahmad Zahid berkata, keputusan ROS itu adalah berdasarkan peraturan mesyuarat agung yang digubal oleh DAP serta berasaskan perlembagaan parti itu sendiri.

“Saya ingin memberi reaksi terhadap kenyataan beberapa pemimpin DAP bahawa parti itu akan dibatalkan.

“Saya sudah sampaikan surat daripada Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) kepada Ketua Pengarah ROS (Datuk Mohamad Razin Abdullah) dan kajian mendalam sudah dilakukan terhadap surat berkenaan dan keputusan DAP mengadakan mesyuarat CEC tergempar hari ini adalah reaksi daripada surat ROS semalam,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bagan Datuk di sini hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kenyataan dikeluarkan ROS semalam adalah penjelasan terhadap kenyataan yang dibuat pemimpin DAP sebelum ini.

Beliau sudah mengarahkan ROS bertindak profesional dan jangan menggunakan emosi atau mana-mana pemikiran di luar ruang lingkup perlembagaan DAP dan Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, keputusan ROS itu kerana terdapat beberapa klausa dan peraturan yang tidak diikuti pada pemilihan kedua CEC DAP pada 29 September 2013.

Ditanya sama ada terdapat tempoh tertentu untuk DAP mematuhi arahan itu, Ahmad Zahid berkata:

“Tiada tempoh tertentu selagi sesuatu kes itu tidak diselesaikan, maka tindakan ROS berdasarkan ruang lingkup kepemimpinan dan undang-undang yang meliputi sesebuah pertubuhan itu sendiri.

“Mereka berhak untuk mengatakan kononnya DAP akan diharamkan, tetapi saya menyatakan tindakan ROS atas nasihat saya mesti profesional, tindakan profesional itu sudah dilakukan,” katanya. – WD MY