KUALA LUMPUR, 12 MEI – LANCAR…..Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melancarkan Program Desa Harapan kedua di Baling iaitu satu daripada 28 daerah miskin di Malaysia, Jun ini, khusus bagi mengeluarkan penduduk di situ daripada kepompong kemiskinan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan tahun lalu bagi pembangunan jangka pendek ke arah luar bandar lebih sejahtera.

Katanya, kementeriannya akan melancarkan Program Desa Harapan kedua di Baling, di lokasi antara Sik dan daerah terbabit pada Jun ini selepas desa harapan pertama dilancarkan di Perak, Disember tahun lalu.

“Di kementerian, kita boleh menyediakan infrastruktur tetapi untuk meningkatkan pendapatan mereka, ia memerlukan bimbingan, kemahiran dan tunjuk ajar melalui program bersesuaian.

“Melalui Program Desa Harapan ini, fokus kita adalah untuk merapatkan jurang pendapatan di antara yang kaya dan miskin, begitu juga penduduk di bandar dan luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Kampung Baru.

Program Desa Harapan adalah sebahagian daripada Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang merangkumi enam teras utama iaitu Prasarana, Ekonomi, Keusahawanan, Modal Insan, Wanita dan Sistem Penyampaian dengan pelaksanaan pertama dilancarkan di Kampung Kincang, Tapah, Perak.

Terdahulu, Rina melawat beberapa gerai daripada 400 di bazar berkenaan yang menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai dikenali sebagai sistem e-wallet oleh Touch & Go Digital Sdn Bhd.

Secara keseluruhan, terdapat 132 peniaga bazar Ramadan di Jalan Raja Alang, 111 peniaga di Jalan Raja Uda dan 40 di Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pihaknya akan memperluaskan penggunaan kaedah belian tanpa tunai di semua kawasan luar bandar menjelang hujung tahun ini.

Sebagai permulaan, katanya, penggunaan belian tanpa tunai itu akan diperkenalkan di Kampung Pintar yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Semestinya kita akan perluaskan penggunaan belian tanpa tunai ini dan pihak kementerian akan berbincang dengan syarikat swasta untuk melancarkan Kampung Pintar,” katanya.

Mengenai rancangan pembangunan Kampung Baru oleh kerajaan sebagai ‘Bandar Moden’, dilengkapi Taman Warisan dikelilingi projek perumahan dan komersial, Rina berkata, beliau akan diberi taklimat oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) berhubung pelan berkenaan, dalam masa terdekat.