PUTRAJAYA, 22 Julai – Berselawat…….. Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 hari ini dimulakan dengan program Felda Berselawat yang berlangsung di Dataran Putrajaya malam tadi.

Alunan merdu qasidah dan selawat memuji kebesaran Nabi Muhammad SAW oleh kira-kira 1,000 hadirin diiringi lantunan suara kumpulan Qasidah Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor yang disusuli persembahan nasyid oleh kumpulan In-Team.

Acara turut diserikan dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan barisan pegawai kanan Felda.

Selain warga dan anak-anak peneroka Felda, program yang bermula pada 9 malam itu turut dihadiri masyarakat setempat.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara forum perdana bertajuk: Ekspresi Felda Negaraku Malaysia “Bakti Disemai, Bukti Dituai” dengan menampilkan dua panelis terkenal iaitu Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Badli Shah Alauddin dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim.

 

Forum selama satu jam itu dikendalikan Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hariri Mohd Daud.

Sambutan kali ke-60 itu diadakan selama tiga hari sehingga Ahad ini dengan jangkaan 50,000 pengunjung akan menghadirinya bagi menyaksikan pelbagai acara yang diadakan termasuk pameran kejayaan Felda dan anak-anak Felda. – WD MY