KUNDASANG, 29 Ogos – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein yakin aktiviti di bawah Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) boleh diperluaskan dan dipelbagaikan demi mendekati dan membantu rakyat
yang memerlukan.

Menurut beliau, selain membantu memperbaiki atau membina rumah rakyat yang
ditimpa kesusahan, termasuk akibat bencana alam, program Jiwa Murni juga boleh
membantu dalam pembinaan inftrastruktur asas lain seperti jalan raya ataupun
jambatan yang sukar dilaksanakan melalui kaedah biasa.

“Saya sebenarnya cukup yakin bahawa ia dapat diperluaskan kepada
pendekatan-pendekatan yang sesuai. Kesesuaiannya banyak bergantung kepada
keperluan orang ramai, sekiranya rakyat perlukan sentuhan daripada tentera, sama
ada ia jalan raya atau jambatan.

“Saya mendapat laporan ada beberapa jambatan yang perlu kita lihat di mana
Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri merasakan mereka tidak mampu lakukannya kerana
bahaya cerun. ATM dalam hal ini tidak teragak-agak untuk tampil ke hadapan,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jiwa Murni kerjasama
Angkatan Tentera Malaysia-Media Prima Berhad di sini.

Melalui program berkenaan, ATM dan Media Prima bekerjasama membina 12 buah
rumah yang rosak akibat gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun lalu.

Media Prima memperuntukkan RM200,000 manakala ATM menyediakan kepakaran
dengan seorang pegawai dan 26 anggota dari 5 Skuadron Kor Jurutera Diraja (RAJD)
dan dari 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk projek baik pulih 12 buah
rumah itu, tiga daripadanya di Parlimen Ranau dan sembilan lagi di Parlimen Kota
Belud.

Hishammuddin berkata program Jiwa Murni berkenaan merupakan komitmen
berterusan ATM dalam membantu masyarakat Ranau dan Kota Belud yang terkesan
akibat gempa bumi selain untuk mendekatkan ATM dengan masyarakat setempat serta
meningkatkan keyakinan mereka dengan ATM.

“Saya percaya, ia (Program Jiwa Murni) dapat diterima baik oleh masyarakat
setempat, ia dapat menyatupadukan rakyat setempat, ia akan dapat menyedarkan
rakyat Sabah bahawa Angkatan Tentera Malaysia tetap bersama dengan mereka dalam
keadaan senang dan susah,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan kewangan
daripada Biro Kebajikan UMNO Malaysia kepada 252 orang malim Gunung. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY