BAGAN DATUK, 11 Mac – PERLUAS…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program Jualan Sentuhan Rakyat yang dilaksanakan kerajaan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata dengan pelaksanaan program itu di kedua-dua negeri itu tidak lama lagi, ia akan membantu rakyat menikmati kemudahan membeli barangan dengan harga yang lebih murah bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Mana nak dapat beli ayam seekor dengan harga RM5, daging RM10, telur sepapan dengan harga hanya RM5 sahaja.… semua ini dapat dibeli melalui program ini sahaja.

Menerusi penganjuran program ini, barangan dijual dengan harga yang munasabah dan dijual dengan harga yang lebih rendah 50 hingga 70 peratus daripada harga pasaran,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian selepas meninjau program berkenaan di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk di Rungkup.

Menurut Ahmad Zahid, pelaksanaan program tersebut merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan yang dilihat mampu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh. – WD MY