KUALA LUMPUR, 28 MEI – SERBU…. Dua pengarah serta seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat agensi pekerjaan beralamat di Seri Kembangan, Selangor, ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki menawarkan khidmat pendaftaran program pemutihan warga asing palsu, semalam.

Tangkapan dibuat menerusi operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pasukan Petugas Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN), hasil maklumat dan risikan pada jam 10.30 pagi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, berkata dalam serbuan itu juga, sejumlah 29 pasport asing, resit pendaftaran serta iklan dirampas untuk tindakan lanjut selain menahan seorang warga asing disyaki menyalah gunakan pas dengan bekerja di premis terbabit.

JABATAN Imigresen serbu dua syarikat agensi pekerjaaan di Seri Kembangan.

“Hasil risikan, individu atau syarikat berkenaan dikesan menyasarkan majikan dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) untuk mendaftar program terbabit menerusi media sosial dengan mengenakan bayaran tertentu sebagai deposit.

“Jabatan Imigresen memandang serius perkara ini kerana ia adalah satu sindiket penipuan. Program Rehiring sudah tamat pada 30 Jun 2018 dan tidak disambung lagi selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Indera Khairul Dzaimee berkata, pihaknya percaya penipuan oleh syarikat itu dilakukan sejak Februari lalu dengan mengaut keuntungan atas angin bagi sejumlah PATI yang kononnya didaftarkan untuk diputihkan.

Katanya, pengarah dan pegawai pemasaran itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam pada itu, beliau menasihati majikan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian serta merujuk kepada Imigresen bagi mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan.

“Kita beri amaran kepada mana-mana syarikat agensi pekerjaan yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan seperti ini supaya menghentikannya serta merta atau bakal berdepan dengan tindakan tegas.

“Jabatan Imigresen bersama agensi penguatkuasaan lain seperti JTK dan Pasukan Petugas MAPO KDN akan sentiasa menjalankan operasi dan pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki terbabit dengan penipuan.

“Tindakan ini bagi memastikan individu berkaitan yang mengambil kesempatan ke atas majikan dan warga asing dikenakan tindakan sewajarnya, seterusnya tiada lagi majikan dan warga asing ditipu,” katanya. – WD MY