SHAH ALAM, 17 Mei – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin hari ini melancarkan Projek Golf Tunas Bestari, inisiatif TSM Charity
Golf, khusus untuk memberi peluang kepada generasi muda kurang berkemampuan
mengasah bakat dalam sukan itu.

Muhyiddin yang juga penaung TSM Charity Golf berkata menerusi projek itu,
mereka yang berminat dan mempunyai bakat dalam sukan berkenaan tidak perlu
mengeluarkan belanja untuk menyertai sukan berkenaan yang dianggap sebagai sukan
yang mahal.

“Ini adalah inisiatif baharu oleh TSM Charity Golf untuk melahirkan
bakat-bakat dan tunas-tunas muda dalam kalangan anak-anak kita, yang sama ada
beradadalam sistem persekolahan ataupun di luar.

“Program ini akan beri peluang kepada mereka (golongan tidak berkemampuan)
untuk bermain golf, iaitu satu sukan yang kita tahu agak mahal sedikit dengan
alat-alatnya untuk dibeli dengan harga yang agak tinggi,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek
berkenaan dan DRB-Hicom TSM Golf Challenge 2015 di Kelab Golf Glenmarie &
Country di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, TSM Charity Golf akan melantik
jurulatih golf bertauliah dalam tempoh terdekat untuk Projek Golf Tunas Bestari.

Menerusi projek berkenaan, Muhyiddin berkata TSM Golf Charity Golf akan
mengumpul set golf terpakai yang diterima daripada orang ramai dan diletakkan
di Kelab Golf Glenmarie untuk kegunaan individu terpilih daripada golongan tidak
berkemampuan untuk bermain golf.

“Sebab itu, kita ucap terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dalam TSM
Charity Golf yang telah memulakan dan memberikan sumbangan golf set yang sudah
dipakai tetapi boleh digunakan dan masih dalam keadaan baik.

“Setidak-tidaknya ia memberikan ruang kepada anak-anak kita untuk
menggunakan alat set ini,” kata Muhyiddin yang turut menyumbang sebuah set golf
terpakai miliknya.- Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY