KUALA LUMPUR, 23 Sept – Projek Perintis Transformasi Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diadakan pada 17 Okt hingga 16 Dis 2015, di
Kem PLKN Princess Haliza, Sepang.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohamed
Asri Yusof, seramai 1,600 calon pelatih yang terdiri daripada calon-calon
pelatih PLKN Kumpulan 2 dan Siri 3 12/2015 akan ditawarkan mengikuti latihan
itu.

“Kesemua calon akan dipilih secara rawak seluruh Malaysia mengikut nisbah
kelahiran setiap negeri.

“Mereka (calon) dikehendaki memberikan maklum balas kehadiran sebelum 30
Sept (Rabu depan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Asri berkata pihaknya juga mengalu-alukan permohonan daripada
mana-mana remaja yang tidak terpilih untuk mengikuti projek perintis itu dengan
memohon melalui borang sukarela yang boleh didapati di portal rasmi JLKN.

Projek Perintis Transformasi PLKN bertujuan menguji keberkesanan modul
baharu yang diperkenalkan dalam PLKN yang dijangka akan bermula tahun hadapan.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY