SHAH ALAM, 28 April – Bekerjasama….. Pelancaran Projek Rintis Penempatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jabatan Agama Islam Negeri, bakal meringankan tanggungjawab dan cabaran pegawai penguat kuasa agama di jabatan berkenaan.

Projek diselaras Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu, dilaksanakan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi penugasan tiga pegawai dan anggota PDRM selama setahun bermula 1 Mei ini.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata projek itu diilhamkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk membantu pihak berkuasa agama menguatkuasakan undang-undang syariah.  

“Kes ancaman akidah dan ajaran sesat, konflik berkaitan perundangan syariah, isu gejala sosial dan persoalan hak kebebasan semakin kompleks dan mencabar. Jadi, sokongan dan khidmat profesionalisme anggota PDRM bagi membantu penguatkuasaan JAIN dalam mengendalikan kes syariah amat kritikal dan tepat pada masa.  

“Kami mengharapkan kerjasama dalam bentuk Strategi Lautan Biru Kebangsaan di antara PDRM dan JAIS, dapat diperkukuh dan diperluaskan pada masa akan datang. Keberkesanannya akan dinilai dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Idris Shah, hari ini.

Majlis penyerahan tiga pegawai dan anggota polis itu disempurnakan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah kepada Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Othman yang yakin inisiatif itu mampu membantu menangani isu penguatkuasaan syariah di negara ini, berkata projek rintis terbabit amat penting untuk mengenalpasti keberkesanannya sebelum diperluaskan ke negeri lain.  

Sementara itu, Zulkifli berkata, pegawai dan anggota yang dipilih berkhidmat di JAIS mempunyai latar belakang akademik dalam bidang agama bagi memudahkan kerjasama kedua-dua agensi terbabit, tetapi tidak menolak membuka peluang kepada mereka yang tiada latar belakang agama pada masa hadapan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY