BATU PAHAT, 3 Sept – Malaysia berharap proses damai di Mindanao akan berjalan
lancar dengan kelulusan Undang-Undang Asas Bangsamoro oleh Senat
Filipina bulan depan, bagi memastikan keamanan serantau terus terpelihara.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata proses damai
itu perlu dicapai bagi memastikan keamanan di kawasan bergolak itu dapat terus
dikecapi.

“Undang-Undang Asas Bangsamoro mesti diluluskan oleh Senat Filipina, dan
saya yakin di bawah kepimpinan Presiden Aquino, kesungguhan politik itu ada,”
katanya kepada media selepas menghadiri Minggu Haluan Siswa untuk pelajar
baharu di Universiti Tun Hussein Onn, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kebimbangan pelbagai pihak mengenai
kemungkinan berlaku huru-hara di kawasan berkenaan, yang boleh berlarutan ke
seluruh rantau ASEAN sekiranya proses meluluskan undang-undang itu tergendala.

“Cuma, sama ada perkara ini diluluskan Oktober ini (atau sebaliknya), ia
mungkin peluang terakhir kepada kita untuk mencari penyelesaian atau keamanan
dan pendamaian di Mindanao.

“Saya bimbang jika pada Oktober, ia tidak diluluskan, ia boleh mencetuskan
sesuatu yang kita tidak boleh kawal,” kata Hishammuddin.

Beliau turut berharap peperangan yang pernah tercetus di kawasan bergolak
itu 11 tahun lepas, tidak berulang kerana ia boleh menggugat keharmonian dan
keamanan di seluruh rantau ASEAN.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY