ROMPIN, 22 April – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil
(PRK) Parlimen Rompin yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah
di sini, ditutup pada pukul 10 pagi.

Dua calon, iaitu Datuk Hasan Arifin daripada Barisan Nasional (BN), dan
Nazri Ahmaf daripada PAS, telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Sementara itu, penulis blog Mohd Shukri Mohd Ramli yang pada Isnin lepas
mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas, tiba pada 9.50 pagi tetapi
tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa penyata
kewangan serta seorang pencadang dan seorang penyokong bersamanya.

Sebelum itu, Hasan, pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, diiringi Timbalan
Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah berarak dari Puteri Inn, kira-kira
30 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi.

Turut bersama mengiringi Hasan ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein, yang juga penyelaras BN bagi PRK Rompin, Presiden MCA
Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam,
Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay berserta 5,000 anggota dan
penyokong BN.

Sementara itu, Nazri pula diiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu,
diarak dari stesen minyak Petronas kira-kira 200 meter dari pusat penamaan calon
pada pukul 8.45 pagi.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Menteri Besar Kelantan
Datuk Ahmad Yakob, dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua
berserta 1,000 penyokong.

Hasan menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.07 pagi manakala Nazri
pula pada 9.04 pagi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744
pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di
luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 30 April dan pengundian sepenuhnya pada 5
Mei ini.- Rizalman Has, Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY