BAGAN DATUK, APRIL 29: TERTIB….Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di seluruh negara hari ini berjalan dengan penuh tertib berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Penyokong-penyokong parti yang bertanding kali ini walaupun ghairah dan bersemangat tetapi mereka adalah lebih tertib berbanding terdahulu.

“Ini menunjukkan masyarakat dapat menilai perbezaan pendapat melalui sistem demokrasi berbanding melayani perbezaan dengan penuh emosi,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menangah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata seramai 75,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara digerakkan hari ini khususnya di kesemua 222 pusat penamaan calon.

“Sepanjang 11 hari berkempen bermula hari ini sehingga 9 Mei, kita akan menambah jumlah anggota dan pegawai selain turut menggerakkan pasukan Formasi Polis Diraja Malaysia.

“Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan membantu polis mengawal lalu lintas di pusat-pusat pengundian, manakala polis akan berada di kawasan mengundi untuk memastikan semua selesa.

“Saya berharap sepanjang tempoh kempen semuanya berjalan dengan lancar dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata beliau akan menunggu laporan penuh sekiranya terdapat anggota parti yang bertanding sebagai calon Bebas atau atas tiket parti lain.-MY WD