KUALA LUMPUR, 8 April- Kerajaan meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada PROTON Holdings Bhd (PROTON) dalam usaha pemulihan perniagaan syarikat automotif negara itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sebahagian besar pinjaman itu akan digunakan untuk membayar vendor pembekal komponen PROTON.

Susulan pertimbangan dan saranan pelbagai pihak, katanya, kerajaan bersetuju mengenakan beberapa syarat dalam usaha menjayakan pelan pemulihan perniagaan PROTON.

“Antara syaratnya ialah PROTON perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya mempunyai kemajuan dan berdaya saing. “Selain itu, PROTON perlu melaksanakan tiga perkara iaitu mewujudkan pelan penstrukturan semula dan menyediakan rangka strategik bagi memperluaskan pasaran di dalam serta luar negara. “Syarikat automotif negara juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Proton juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa, katanya.

Beliau berkata, sebuah Pasukan Petugas yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.

“Pasukan ini akan mempunyai tiga wakil, masing-masing dari sektor swasta dan sektor awam. Wakil kerajaan ialah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Miti dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin,” katanya.

Mustapa berkata, selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan serta langkah untuk mengatasinya. Beliau berkata industri automotif adalah sebuah industri yang strategik, dengan PROTON mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 orang bekerja dengan syarikat vendor yang bergantung kepada Proton.

“Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Proton,” katanya.

Meniti usia 32 tahun, kerajaan dilaporkan sudah menyalurkan geran, bantuan dan cukai tidak dikutip berjumlah RM13.9 bilion kepada PROTON, namun industri kereta nasional itu masih berdepan pelbagai masalah. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY