KUALA LUMPUR, 2 April – Kerajaan meletakkan syarat bahawa Proton perlu memenuhi empat syarat bagi
memastikannya mendapat bantuan kerajaan termasuk bantuan kewangan.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed
menegaskan, empat syarat itu ialah mengenal pasti dengan segera rakan kongsi
strategik asing, ia mesti diuruskan secara profesional, tiada campur tangan
dalam perniagaan serta langkah-langkah tegas namun perlu bagi memastikan
kemampanannya untuk jangka panjang.

Dalam satu kenyataan, beliau turut mengingatkan pengerusi baharu
dan pengurusan kanan syarikat pengeluar kereta nasional itu perlu membantu ke
arah meningkatkan potensi sebenar Proton dan membuka jalan ke arah masa depan
syarikat yang lebih baik.

“Saya dimaklumkan ada beberapa keadaan Proton dilihat sebagai tidak
profesional dalam proses membuat keputusannya.

“Kerajaan tidak boleh menutup mata kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh
Proton. Ia mesti komited untuk memastikan pertumbuhan berterusan industri
automotif domestik termasuk (melaksanakan langkah) transformasi Proton dan
ekosistemnya,” katanya.

Mustapa turut menyifatkan masalah yang dihadapi oleh Proton sebagai sangat
mencabar kerana bahagian pasaran semasa syarikat itu dalam pasaran automotif
tempatan merosot kepada 15 peratus daripada paras tertingginya sebelum ini iaitu
74 peratus pada 1993.

“Dalam bidang perniagaan ini yang amat kompetitif, (aspek) skala sangat
penting dan terdapat keperluan untuk memperuntukkan sumber modal yang tinggi
bagi penyelidikan dan pembangunan.

“Bagaimanapun, Proton ketika ini tidak mempunyai kedua-duanya,” katanya.

Mustapa berkata Proton kini merupakan peserta yang agak kecil dalam konteks
global dan tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat asing melainkan dapat
meningkatkan eksportnya dengan ketara.

“Keupayaan Proton tidak digunakan sepenuhnya dengan hanya kira-kira 35
peratus daripada setiap dua kilang pengeluarannya yang dimanfaatkan.

“Keputusan untuk mempunyai dua kilang mungkin antara kesilapan yang dibuat
Proton sebelum ini,” katanya.

Mustapa berkata kerajaan percaya model perniagaan semasa yang diguna pakai
Proton tidak mampan.

“Kerajaan sememangnya serius mempertimbangkan permohonan Proton untuk
mendapatkan bantuan geran dan pinjaman mudah. Ia suatu permintaan besar dan
kerajaan perlu menelitinya kerana melibatkan banyak wang awam.

“Kita perlu berhemat dalam peruntukan sumber-sumber pada masa ini berikutan

pendapatan negara yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak dan
komoditi,” katanya.

Mustapa berkata Proton hampir memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat
asing terkemuka dalam industri automotif kira-kira tiga tahun lalu, tetapi
menarik diri pada saat-saat akhir.

“Sekiranya kerjasama ini dapat direalisasikan, kita mungkin telah melihat
prestasi Proton yang lebih baik pada tahun-tahun berikutnya,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY