SHAH ALAM, 3 Okt – Proton Holdings Bhd hari ini memberi jaminan mengekalkan
harga jualan semasa keretanya biarpun berdepan peningkatan kos bahan
mentah import akibat penyusutan ringgit.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa ini, pengeluar
kereta nasional itu perlu menjual kenderaannya pada harga yang ditetapkan
kerajaan.

“Berikutan penurunan tukaran asing, kos bahan mentah import itu juga
meningkat. Namun kami masih cuba untuk mengekalkan harga (kereta Proton),”
katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Alami Proton 2015 di Pusat
Kecemerlangan Proton di sini, hari ini.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu berkata Proton merancang untuk
mengeksport kereta elektrik Proton Iriz yang dikatakan mampu bergerak sejauh 300
kilometer bagi sekali pengecasan, ke pasaran Eropah.

Pada masa sama, Proton juga akan memastikan kesemua kereta keluarannya pada
masa depan akan menepati standard pelepasan karbon Euro 5, kata Dr Mahathir.

“Kami telah mencadangkan untuk mengeluarkan kereta ini (Proton Iriz) ke
Eropah dan tidak perlu membayar denda kerana ia cekap (tenaga),” katanya.

Mengulas ulang tahun ke-30 Proton tahun ini sejak diwujudkan pada 1985, Dr
Mahathir berkata syarikat itu berazam mengubah persepsi orang ramai bahawa ia
mengeluarkan kereta berkualiti rendah.

Jelasnya, Proton yang memulakan operasi dengan hanya menghasilkan kereta
mekanikal kini ternyata mampu mengeluarkan kenderaan jenis elektrik yang
menepati piawaian antarabangsa.

“Malah, Proton sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan dengan
memperkenalkan kereta dilengkapi enam beg udara.

“Proton kini dilihat sebagai pemangkin bagi mempertingkatkan keupayaan
kejuruteraan Malaysia,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY