SHAH ALAM, 23 Ogos – Proton Persona Baharu…..Proton Holding Bhd melancarkan Proton Persona serba baharu yang dijual pada harga bermula RM46,800 hingga RM59,800 seunit.

Pelancaran model baharu itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini, sebentar tadi. Persona baharu yang menggantikan model generasi pertama yang dilancarkan pada tahun 2007 itu dijangka meningkatkan prestasi jualan Proton.

Ditawarkan dalam empat varian, Persona baharu yang didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik itu ?mula dibuka untuk tempahan sejak Isnin lalu.

Menggunakan enjin 1.6 Liter VVT untuk semua varian, Persona yang menerima pengiktirafan 5-bintang daripada ASEAN NCAP, mampu memecut 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 10.9 saat, prestasi lebih baik berbanding 12 saat untuk model terdahulu.

Dari segi keselamatan, ia didatangkan dengan enam beg udara bagi varian Premium dan dua beg udara bagi varian lain, serta ciri lain termasuk Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Bantuan Brek (BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD).? – WD MY

LEAVE A REPLY