KUALA LUMPUR, 3 Feb – Lantik PROTON Holdings Bhd (PROTON) melantik Abdul Rashid Musa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd (Proton Edar), berkuat kuasa 1 Februari 2017.

Pelantikan terbaharu itu bagi menggantikan Rohime Shafie yang ditugaskan ke DRB-HICOM sebagai Ketua Automotif di Bahagian Pengedaran Automotif dan Pembuatan & Kejuruteraan di bawah Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif dan Pembuatan & Kejuruteraan, Datuk Abdul Harith Abdullah.

Tidak asing kepada industri automotif, Abdul Rashid memiliki pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang automotif, dengan pembabitan dalam pelbagai projek dan organisasi automotif.

Mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1989, Abdul Rashid bukan saja terbabit dalam bidang pembuatan, penyelidikan & pembangunan; dan pengurusan, malah beliau juga adalah seorang yang kuat menyuarakan aspek keselamatan penumpang dan mengambil bahagian dalam pelbagai ceramah mendidik tentang keselamatan penumpang dan kepentingan penguatkuasaan kenderaan selamat di negara ini.

Sebelum pelantikan itu, beliau adalah Ketua Pegawai Teknikal PROTON di mana beliau memegang beberapa tugas dan tanggungjawab, termasuk memainkan peranan penting dalam pembangunan empat model baharu tahun lalu.

Beliau adalah ahli Lembaga Pengarah di beberapa anak syarikat PROTON dan sebelum ini juga adalah ketua di beberapa syarikat di bawah kumpulan DRB-HICOM.

PROTON dalam satu kenyataan berkata syarikat pengeluar kereta nasional itu yakin Abdul Rashid mampu untuk terus menerajui Proton Edar bagi meneruskan trajektori pertumbuhan dalam meningkatkan penguasaan pasarannya.

“Abdul Rashid akan terus memacu budaya PROTON iaitu “Pelanggan Diutamakan” dalam Proton Edar dengan objektif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti di seluruh rangkaian PROTON di negara ini.

“Dengan memanfaatkan latar belakang teknikal beliau, Abdul Rashid akan dapat menyumbang ke arah pelan penambahbaikan rangkaian terutama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan selepas jualan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali turut mengalu-alukan pelantikan Rashid sebagai ketua baharu Proton Edar dan mengucapkan terima kasih kepada Rohime di atas dedikasi dan komitmen beliau semasa berkhidmat bersama PROTON dan Proton Edar sejak 20 Ogos 2014. – WD MY