KUALA LUMPUR, 13 DIS – LANCAR….. Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, Proton X70 yang ditawarkan pada harga bermula RM99,800.

Model yang dinanti-nantikan oleh pasaran automotif tempatan selepas mula diperkatakan sejak tahun lalu itu ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard 2WD yang dijual pada harga RM99,800; manakala Executive 2WD pula adalah RM109,800; Executive AWD dan Premium 2WD pula masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM115,800 dan RM123,800 seunit.

Proton X70 adalah model pertama yang dihasilkan secara bersama oleh PROTON dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) serta menjadi SUV premium pertama dikeluarkan oleh jenama automotif Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata menerusi pelancaran Proton X70, ia akan membawa PROTON ke segmen pasaran baharu dan bertindak sebagai pemangkin untuk memberi nafas baharu kepada jenama.

“Untuk menghasilkan Proton X70, PROTON dan Geely perlu bekerjasama dalam pelbagai peringkat termasuk daripada penyelarasan kerja antara kakitangan di China dan Malaysia hinggalah kerjasama antara pembekal tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Proton X70 MALAM TADI.

Mengulas lanjut, Chunrong berkata, bagi meningkatkan pengalaman pemilikan Proton X70, pakej nilai tambahan istimewa dikenali, Xtra yang merangkumi empat tawaran turut diperkenalkan.

“Tawaran pertama, Pakej Servis Xtra menawarkan alat ganti dan kos pekerja secara percuma untuk servis yang pertama serta kos pekerja percuma untuk lima kali servis berjadual bagi 100,000 kilometer atau lima tahun.

“Kedua, Pakej Pembiayaan Rendah Xtra, yang menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.34 peratus setahun untuk pembeli yang berkelayakan.

“Ketiga, Pakej Perlindungan Waranti Xtra yang akan melindungi Proton X70 selama lima tahun tanpa mengira jarak perbatuan sekali gus menjadikan PROTON menjadi jenama automotif kebangsaan pertama menawarkan jaminan perbatuan tanpa had.

“Akhir sekali, untuk memastikan pemilik menikmati pengalaman sambungan premium, Pakej Data Xtra menawarkan data internet percuma selama lima tahun (dihadkan pada 1GB sebulan),” katanya.

“Pakej Xtra yang diberi akan meningkatkan pengalaman para pemilik dengan menawarkan kemudahan, penjimatan untuk servis, pembiayaan serta data percuma,” tambah Dr Li Chunrong.

Sementara itu, dari segi spesifikasi, Proton X70 dikuasakan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo TGDI dengan enam kelajuan automatik, yang mampu menghambur kuasa 184 PS pada 5,500rpm dan tork 285Nm dari 1,700 – 4,400rpm.

Melengkapkan ciri premium, Proton X70 tampil dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) iaitu sistem penghubung pintar yang didatangkan dengan kad eSIM serta dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Ia diakses melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz lapan inci yang dilengkapi ruang memori dalaman 32gb.

Malah, sistem itu juga mempunyai sambungan Wi-Fi, sekali gus membolehkan jentera itu dijadikan sebagai hotspot mudah alih.

Semua varian menerima ciri keselamatan termaju iaitu enam beg udara SRS, ISOFIX, , Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan daya brek elektronik (EBD), Bantuan Membrek (BA), Kawalan Brek Automatik, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Kawalan Cerun (HHA), Kawalan Menurun Curam (HDC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Proton X70 turut menerima pengiktirafan lima bintang ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Info:

Proton X70

* Standard 2WD (bermula RM99,800)

* Executive 2WD (bermula RM109,800)

* Executive AWD (bermula RM115,800)

* Premium 2WD (bermula RM123,800)

* Enjin 1.8 liter pengecas turbo TGDI

* 184 PS @ 5,500rpm dan tork 285Nm @ 1,700 – 4,400rpm

* Dilengkapi GKUI

* 6 beg udara SRS, ABS, EBD, BA, ESC, TCS, HHA, HDC & ESS

* 6 port USB