PRU-14 Atau Tidak, Perhimpunan Agung UMNO 2017 Tetap Diteruskan – Ab Rauf

0
82

KUALA LUMPUR, 3 Okt – TERUSKAN…. Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh, berkata Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang dijadual berlangsung mulai 5 hingga 9 Disember ini akan tetap diteruskan walaupun jika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan ketika itu.

PRU tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan perhimpunan agung kerana ia termaktub dalam perlembagaan parti dan peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Perhimpunan agung tidak boleh ditangguh, kalau tangguh nanti (berlaku) macam-macam hal. ROS ada peraturannya. Ada pilihan raya atau tidak, perhimpunan agung tetap akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ab Rauf berkata, isu yang bakal dibangkitkan perwakilan sedang diterima pihaknya dari peringkat bahagian untuk diperhalusi dan akan dimaklumkan pada taklimat jurucakap.

Beliau juga berkata, sebelum perhimpunan agung berlangsung, UMNO akan menganjurkan forum politik antarabangsa khusus untuk golongan wanita yang akan dikelola Pergerakan Wanita.

Katanya, tahap keselamatan di PWTC khususnya di semua pintu masuk ke dewan persidangan akan diperketatkan bagi mengelak pihak tidak berkepentingan menyusup masuk ke dalam dewan dan mengganggu kelancaran perhimpunan.

“Kita bercadang menggunakan sistem pengimbas Pengenalan Diri Frekuensi Radio (RFID) bagi meningkatkan tahap keselamatan pergerakan masuk dan keluar dalam perhimpunan agung kali ini,” katanya. – WD MY