JOHOR BAHRU, 11 Nov – Paling Sengit…….. Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan pilihan raya paling sengit dalam sejarah UMNO dan bakal menentukan
kelangsungan parti itu sebagai parti pemerintah, kata Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein.
Naib presiden UMNO itu berkata parti itu perlu bersedia menghadapi
persaingan bagi mengelak nasib parti pemerintah seperti parti Golkar di
Indonesia, Kongres (India), Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun dan
Kuomintang di Taiwan yang kalah dalam pilihan raya.
Katanya, pandangannya itu bukan untuk menakut-nakutkan anggota UMNO tetapi
hanya memberi gambaran sebenar dan realiti yang harus diterima oleh parti itu.
Beliau memberi peringatan bahawa UMNO harus kembali mendapatkan mandat
baharu pada PRU14 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dan ia bukan satu
tugas yang mudah.
“Mandat lima tahun kita sudah hampir dua pertiga hayatnya…ini bermakna
UMNO harus kembali mendapat mandat baharu, namun ia bukanlah semudah kita
impikan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen UMNO Johor, di sini, malam tadi.
Justeru, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, meminta semua anggota
UMNO Johor supaya berusaha gigih mulai hari ini bagi memastikan kemenangan parti
dalam PRU14.
Hishamuddin, yang merupakan Anggota Parlimen Sembrong, dalam pada itu turut
meminta UMNO mendepani pilihan raya akan datang dengan strategi berlainan,
bersesuaian dengan keadaan semasa.
Katanya, ini penting kerana strategi harus bersandar kepada kekuatan sebenar
UMNO dan mengambil pengajaran daripada pelbagai pengalaman dilalui.
Hishammuddin berkata di Johor, beliau gembira melihat usaha telah pun
dilakukan oleh Menteri Besar dengan pengenalan beberapa inisiatif seperti Johor
Berkemajuan dan Johor Prihatin.
Katanya, meskipun segala inisiatif ini akan memenangkan UMNO Johor pada
PRU14 namun anggotanya diingatkan bahawa mereka bukan berada di zon selesa
kerana terdapat individu yang masih tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti
itu.
Justeru, beliau berharap konvensyen itu akan menjadi wadah untuk UMNO Johor
menyedari tugas besar mereka iaitu meneruskan kelangsungan sebagai nadi dan
nafas UMNO secara keseluruhannnya.  – WD MY