JERANTUT, MAC 24: JENTERA…Jentera pilihan raya semua UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) bahagian dan cawangan di Pahang “bergendang-perang” untuk menambat hati dan jiwa pengundi.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata usaha konsisten itu mampu menterjemahkan kemenangan kepada calon BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Menteri Besar itu berkata, sikap pro aktif dan sentiasa mengadakan program mendekati rakyat dan menggerakkan jentera pilihan raya tanpa menunggu arahan juga perlu diteruskan.

“Jentera UMNO dan semua parti komponen BN sewajarnya sentiasa “bergendang perang” untuk menaikkan semangat pilihan raya secara konsisten serta menggandakan usaha kegiatan bersama pengundi.

“Perbanyakan program yang bersesuaian dengan keadaan tempat dan sasaran pengundi perlu digerakkan oleh jentera pilihan raya BN yang membabitkan perhimpunan ramai, sekali gus meningkatkan semangat dan suasana menjelang pilihan raya umum sebenar.

“Jentera pilihan raya BN di semua kawasan Parlimen negeri ini juga perlu mengawasi pembangkang yang cuba mewujudkan perpecahan bagi tujuan kepentingan politik masing-masing dan sentiasa bersedia dengan jawapan kukuh dan bernas bagi memenangi hati pengundi,” katanya selepas melancarkan Jentera PRU-14 BN, Parlimen Jerantut, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini, semalam.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata, semua sayap parti UMNO dan komponen BN perlu cergas mendekati pengundi, khususnya golongan muda yang lebih mempercayai media sosial.

Katanya, setiap strategi program turun padang hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan terancang, bukanlah sekadar sambil lewa yang boleh menjejaskan imej BN.

“Semua perlu sederap mara atas nama BN dalam penganjuran program serta menggerakkan jentera pilihan raya mahupun menyerahkan bendera kerana matlamatnya mesti memfokuskan kemenangan calon BN yang bertanding,” katanya.-MY WD