SEMENYIH, 19 Jan – PUSAKA…. Kejohanan Pencak Silat Gema Pusaka 2018 yang julung kali dianjurkan akan dijadikan sebagai kejohanan tahunan anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Malah diatas persetujuan Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, kejohanan ini akan dinamakan sempena nama beliau pada edisi kedua penganjurannya tahun depan.

Pengerusi PSSPGM Selangor, Azrul Affandy Sobry, kejohanan empat hari bermula Selasa lalu berjaya menarik penyertaan memberangsangkan daripada pesilat seluruh negara.

“Kami tidak menyangka berjaya menarik penyertaan memberangsangkan dalam kejohanan kali pertama ini.

“Lagipun perancangan penganjuran kejohanan ini hanya selama tiga bulan saja. Namun dengan penyertaan ramai dan kelancaran kejohanan ini menjadikan kami yakin untuk menjadikannya sebagai program tahunan PSSPGM,” katanya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hadir merasmikan Kejohanan Pencak Silat Gema Pusaka 2018 seterusnya menyampaikan sandang kepada 50 pesilat sempena Majlis Adat Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Pusaka Gayong Malaysia yang diadakan Dewan Hyogo, Institut Perindustrian MARA-Jepun, Beranang.

Pada majlis sama, Noh Omar turut mengumumkan peruntukan dana RM40,000 untuk pembangunan gelanggang pusat PSSPGM Selangor.

Hadir sama, ADUN Semenyih, Datuk Johan Aziz; Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Datuk Dr Abdul Majid Md Isa.