JERLUN, 20 MEI – ALU-ALUKAN…. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia mempertimbangkan kaedah pemberian insentif kepada peminjam bagi memastikan proses kutipan lebih berkesan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya akan mengumpulkan semua pandangan daripada semua pihak dalam masa terdekat.

“Kita kumpul pandangan… saya kena amanah dengan semua pandangan kerana ada yang baik, ada yang kita tak selesa.

“Pada waktu ini, tidak wajar saya kata saya suka idea itu atau idea ini, sebaliknya kita angkat semua cadangan dan beri kepada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata l demikian selepas menyerahkan sumbangan zakat PTPTN bernilai RM202,500 kepada 15 kawasan Parlimen negeri Kedah menerusi Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin.

Terdahulu, penganalisis ekonomi, Prof Dr Madeline Berma menyuarakan pandangan bahawa pemberian insentif dapat menggalakkan sekali gus memudahkan peminjam membayar balik hutang yang tertunggak.

Sementara itu, Wan Saiful turut menyarankan orang ramai supaya mengakses laman web rasmi PTPTN untuk menyuarakan cadangan dan pandangan berhubung Kertas Konsultasi Rakyat.

Katanya, bahagian pertama kertas berkenaan mengandungi data dan fakta yang penting, malah setiap cadangan amat dialu-alukan.

“Boleh saja untuk keluarkan pandangan melalui semua medium media sosial namun kita ada saluran rasmi.

“Ada faedahnya untuk sesiapa saja memberi komentar, tetapi apabila maklumat itu tidak sampai, ia jadi satu kerugian.

“Selepas berperang dalam grup WhatsApp dan bergaduh di laman Facebook, masuk ke dalam laman rasmi PTPTN dan beri pandangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi townhall di universiti awam seluruh negeri bermula 25 Mei ini.

“Kita akan ke universiti terpilih sebab yang paling terkesan sekali adalah mahasiswa.

“Kita akan ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya. -WD MY