KUALA LUMPUR, 8 Mac – PELUANG…… Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah manifestasi hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menyediakan peluang kepada mereka yang tidak mempunyai kemampuan ekonomi terutama daripada kalangan B40, untuk memperoleh akses kepada pendidikan lebih tinggi kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata PTPTN ditubuhkan 20 tahun lalu ketika Najib, yang pada ketika itu merupakan Menteri Pendidikan, melaksanakan pendemokrasian pendidikan bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan termasuk dalam kategori miskin menerusi aspek akademik, sekali gus menyediakan sosial mobiliti bagi meletakkan kumpulan itu dalam status sosial lebih tinggi.

“Negara kita merupakan satu-satunya kerajaan yang menyediakan tabung pendidikan terbesar untuk rakyatnya. Ia tentu sekali lahir daripada keikhlasan hati perdana menteri, dan hasrat perdana menteri ini diterjemahkan dari tahun ke tahun sehingga kini ia berdiri sebagai tabung kewangan yang gagah di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan 20 tahun PTPTN hari ini.

Ahmad Zahid berkata kecemerlangan PTPTN juga mendorong banyak negara yang mahu belajar daripada Malaysia bagaimana tabung ini diuruskan secara profesional, sehingga dapat membantu kira-kira 2.8 juta rakyat Malaysia setakat ini.

Sepanjang 20 tahun penubuhannya, secara purata seramai 200,000 pelajar baharu akan mendapat tajaan PTPTN semasa melanjutkan pengajian pada setiap tahun dan setakat ini kira-kira 81 peratus peminjam yang perlu membuat bayaran balik telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

PTPTN berjaya mengutip bayaran balik sebanyak RM3.98 bilion pada tahun 2017, yang merupakan angka tertinggi berjaya dikutip berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu RM1.45 bilion pada 2015 dan RM3.43 bilion pada 2016.

Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata PTPTN kini dilihat lebih kukuh berbanding peringkat awal yang menyaksikan badan itu bertungkus lumus untuk mengutip kembali pinjaman yang diberikan.

“Di peringkat awal saya lihat ada cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh kakitangan PTPTN.. Kadang-kadang kita kena lebih tegas untuk mencapai matlamat, setakat ini hanya 29 peratus peminjam yang masih belum melunaskan pinjaman mereka. Jangan ingat tindakan yang dilakukan sebagai kezaliman, kena lihat kita yang sebenarnya zalim kerana tidak bayar hutang, mana-mana agama pun menuntut agar hutang dibayar.

“Sama juga kita dengan kerajaan, kita sering digambarkan sebagai kerajaan zalim, sering disalahkan dalam kempen-kempen untuk tanam kebencian rakyat terhadap kerajaan…walau apa pun, hutang perlu dibayar.

“Kalau kita digambarkan sebagai sebagai kerajaan atau organisasi yang zalim, sebenarnya lebih zalim kalau tak bagi pinjam kepada mereka yang layak dapat pinjaman,” katanya. – WD MY