LENGGONG, 14 Nov – Tidak Bayar PTPTN…… Pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta pihak tertentu supaya tidak terus menuding jari menyalahkan PTPTN kerana memotong jumlah wang pinjaman kepada pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi di negara ini.

Bagi Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata potongan terpaksa dilakukan kerana pelajar yang meminjam dengan tabung itu sebelum ini masih belum memulangkan balik baki pinjaman dan ada yang langsung tidak membayarnya.

“Sebenarnya peminjam sendiri yang membuat masalah sehingga PTPTN kekurangan dana yang sepatutnya membiayai 200,000 pelajar setiap tahun membabitkan sejumlah RM4 bilion.

“Seramai 753,058 peminjam dikenal pasti tidak pernah membayar balik sedangkan sepatutnya bayaran dikutip daripada mereka sebanyak RM18.3 bilion daripada RM47.2 bilion yang dikeluarkan setakat 30 September lalu.

“Tetapi sekarang baru RM9.8 bilion berjaya dikutip dan mengakibatkan pelajar baharu tidak memperoleh pembiayaan 100 peratus seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di Dewan Merdeka Lenggong, semalam.

Shamsul Anuar juga berkata, pemberian tawaran insentif diskaun 15 peratus dan 10 peratus kepada peminjam membolehkan peningkatan bayaran daripada 5,002 peminjam hingga 31 Oktober lalu membabitkan wang RM51.9 juta dengan diskaun diberi RM8.8 juta yang dibayar kerajaan.

Katanya, seramai 1,025 peminjam pula membayar 50 peratus pembiayaan membabitkan jumlah RM8.9 juta dengan diskaun RM896,000.

Bagi mereka yang membayar melalui potongan gaji pula, 131,582 orang melakukannya membabitkan RM23.8 juta dengan diskaun RM2.3 juta.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar menggesa peminjam merebut peluang insentif itu untuk melestarikan PTPTN kerana sasaran wang yang diberikan kepada pelajar baharu adalah berasaskan kutipan diperoleh daripada bekas pelajar. – WD MY