ARAU, NOVEMBER 17: PTPTN…Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengakui tidak mampu menangguhkan pembayaran balik pinjaman tabung itu bagi peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata cadangan penangguhan pembayaran semula itu bakal memberi kesan buruk kepada institusi berkenaan bagi jangka masa panjang.

“Kita hargai cadangan semua pihak supaya ditunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), namun pada masa kini kita tidak mampu untuk memenuhi janji itu.

“Kita tidak mahu jika laksanakannya (penangguhan bayaran), pada tahun akan datang kerajaan terpaksa menutup PTPTN akibat beban hutang tinggi,” katanya ketika ditemui pada Karnival Pendidikan Kerjaya 2018 di sini, hari ini.

Sebelum ini Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat menggesa kerajaan segera melaksanakan janji berhubung penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN.

Hassan dipetik berkata, kerajaan perlu menyusun balik struktur PTPTN bagi membantu golongan muda dan mahasiswa.

Mengulas lanjut mengenai mekanisme baharu pembayaran semula pinjaman PTPTN, Wan Saiful berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi melaksanakan mekanisme berkenaan.

“Saya merayu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mempercepatkan perbincangan di peringkat dalaman kerana sudah dua bulan lebih kita menunggu.

“Sejurus mereka memuktamadkan keputusan, kita akan terus bawa ke Kabinet untuk diputuskan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak,” katanya-MY WD