GEORGE TOWN, 2 Nov – BANJIR…… Negeri Pulau Pinang menghadapi 119 kali banjir kilat sejak 2013 hingga 15 Okt tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, diberitahu hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah itu, 22 kali banjir kilat berlaku pada tahun 2013, 20 (2014), 26 (2015), 30 (2016) dan 21 kali pada tahun 2017, yang kebanyakannya melibatkan kawasan di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) yang ingin tahu berapa kali banjir kilat berlaku di negeri ini dari tahun 2013 hingga kini dan senarai tarikh dan kawasan terlibat.

Shariful Azhar juga ingin tahu mengenai senarai kawasan dan jumlah mangsa terlibat dalam kejadian banjir kilat pada 15 Sept lepas serta punca sebenar kejadian itu dan bagaimana mengatasinya.

Mengulas mengenai banjir kilat pada 15 Sept lepas, Chow berkata sebanyak 119 kawasan di seluruh negeri ini terjejas dengan melibatkan 5,498 orang mangsa.

Beliau berkata sebanyak 24 kawasan dengan 665 mangsa terlibat di daerah Barat Daya; 35 kawasan dengan 1,950 mangsa di daerah Timur Laut; 15 kawasan dengan 1,854 mangsa di Seberang Perai Tengah; 14 kawasan dengan 862 mangsa di Seberang Perai Utara; dan 12 kawasan dengan 167 mangsa terlibat di Seberang Perai Selatan.

Chow berkata jumlah taburan hujan yang tinggi dalam masa sehari yang menyamai taburan hujan sebulan yang diterima di negeri ini serta air pasang tinggi pada 15 Sept lalu menyebabkan banjir kilat yang disifatkan sebagai antara yang terburuk melanda Pulau Pinang.

“Kesan taufan Doksuri juga turut menyumbangkan kepada berlakunya banjir kilat itu. Sebahagian dari sungai-sungai dan sistem saliran di taman-taman dan kampung-kampung sedia ada tidak dapat menampung jumlah kadar air aliran permukaan hujan lebat itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sampah dari domestik, industri dan pertanian yang dibuang ke dalam sungai dan parit monsun turut menyebabkan sistem saliran tidak berfungsi dengan baik dan menjadi punca kepada banjir kilat pada hari itu.

Justeru, Chow berkata bagi mengatasi masalah banjir kilat di negeri, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengambil beberapa pendekatan termasuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di kawasan yang sering dilanda’ banjir.

“Selain itu, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan hartanah di negeri ini dijalankan mengikut garis panduan Saliran Mesra Alam Edisi kedua, garis panduan melibatkan sungai dan rizab sungai dan garis panduan JPS,” katanya. – WD MY