NEW YORK, 19 MAC – RAKAM….. Perakam data penerbangan yang ditemui pada bangkai Boeing 737 MAX yang terhempas di Habsyah dan Indonesia menunjukkan ‘persamaan jelas’, menurut kenyataan Addis Ababa semalam.

Kenyataan dibuat ketika syarikat pengeluar Amerika Syarikat itu mengumumkan ia memuktamadkan kemas kini perisian bagi sistem anti-pegun.

Sementara itu, tekanan semakin kuat dikenakan ke atas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, yang menegaskan ia mengikut prosedur standard dalam mengesahkan model pesawat, ketika ia dilaporkan disiasat Jabatan Pengangkutan.

“Program pengesahan 737 MAX mengukut proses pengesahan standard FAA,” kata agensi itu.

Ia berkata, prosedurnya dibangunkan dengan baik dan secara konsisten mengeluarkan reka bentuk pesawat yang selamat.

Namun laporan persamaan antara nahas Ethiopian Airlines 737 MAX 8 pada 10 Mac lalu yang mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal, dan kes Lion Air yang menggunakan model sama pesawat itu terhempas pada Oktober lalu, membunuh 189, membangkitkan keraguan serius dan mencetuskan krisis terbesar Boeing dalam masa beberapa dekad.

Pesawat 737 MAX masih baru, memasuki perkhidmatan pada Mei 2017 sebagai saingan kepada pesawat jarak sederhana Airbus, A320 Neo.

Menteri Pengangkutan Habsyah, Dagmawit Moges, semalam berkata kajian perakam data pesawat yang diperoleh daripada kapal terbang Habsyah itu menunjukkan ‘persamaan jelas’ dengan Lion Air di Indonesia.

Katanya, persamaan itu akan menjadi subjek kajian lanjut. — WD MY