SINGAPURA, 8 Julai – Boeing hari ini membuka secara rasmi Pusat Analisis Siber
antarabangsa pertamanya di Singapura, membawakan keupayaan dan perkhidmatan
keselamatan siber canggihnya kepada rakan kongsinya di rantau ini.

Penubuhan Boeing Cyber Analytics Centre (BCAC) itu bertujuan untuk
menyediakan pemahaman lebih mendalam tentang persekitaran ancaman siber dan
kesannya kepada kerajaan, industri dan para akademi, yang mana pengetahuan
tentangnya semakin diperlukan ketika ini.

Pusat itu akan berfungsi sebagai sumber serantau bagi perkongsian dan
kerjasama maklumat, bagi membolehkan rakan kongsi di seluruh Asia Pasifik
bekerjasama menilai teknologi dan teknik yang dapat menangani dengan proaktif
potensi ancaman siber.

Maklumat yang dikumpulkan daripada BCAC akan menyediakan amaran lebih awal
kepada rakan-rakan kongsi di seluruh rantau tentang serangan siber yang akan
berlaku dan menjalankan analisis trend yang bertujuan membantu mengurangkan
ancaman sedia ada serta menangani potensi ancaman pada masa hadapan.

BCAC akan menggunakan khidmat penganalisis yang dilatih khusus untuk
menggunakan analisis siber canggih, dan misi utama mereka adalah untuk mengenal
pasti ancaman siber terkini serta yang bakal muncul dan mengeluarkan amaran
tepat pada masa kepada rakan-rakan kongsi BCAC.

Beh Kian Teik, Pengarah Eksekutif Pejabat Program Industri Keselamatan
(SSIPO) Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura berkata,” pusat ini merupakan
tambahan utama kepada industri di Singapura kerana ia membawakan keupayaan dan
perkhidmatan keselamatan siber canggih bagi menampung keperluan yang semakin
meningkat di rantau Asia Pasifik.

“Ia turut menyediakan pilihan kerjaya menarik baharu bagi warga Singapura
yang berminat bekerja dalam industri keselamatan siber di Singapura. Kami
mengharapkan pertumbuhan berterusan Boeing di sini,” katanya dalam satu
kenyataan yang dikeluarkan oleh Boeing di sini.

Dewey Houck, naib presiden dan ketua pegawai analisis data, Boeing
Defense, Space & Security, berkata: “Pengalaman kami dalam melindungi rangkaian
maklumat global Boeing sendiri, serta usaha yang kami lakukan bagi pelanggan
kami di seluruh dunia, menjadikan kami sangat sesuai untuk menyediakan
perkhidmatan ini.

“Penyelesaian yang kami sediakan menerusi Boeing Cyber Analytics Centre
adalah bertaraf dunia dan dapat memenuhi keperluan rakan kongsi di seluruh
rantau Asia Pasifik,” katanya.

Defense, Space & Security, unit Boeing Company, merupakan satu daripada
perniagaan pertahanan, angkasa dan keselamatan terbesar di dunia yang
mengkhususkan dalam penyelesaian pelanggan inovatif, dan pengeluar pesawat
tentera paling serba boleh.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY