PETALING JAYA, 9 Mac – HARLEY AVIDSON…… Jenama motosikal dunia terkenal Harley-Davidson melalui pengedar eksklusifnya di Malaysia Didi Resources Sdn Bhd merasmikan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baru di Petaling Jaya.

Berkeluasan 20,000 kaki persegi ia juga dilengkapi dengan ruang penyelenggaraan yang boleh memuatkan enam buah motosikal, alat ganti tulen, kerja mengetuk dan mengecat serta aksesori dan pakaian jenama Harley Davidson.

Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo, berkata Harley-Davidson Petaling Jaya yang terletak di Gasket Alley dikendalikan oleh Goh Brothers Motorcycles dengan pelaburan sebanyak RM3 juta dalam menyediakan khidmat selepas jualan terbaik kepada pemilik.

“Kami bekerjasama rapat dengan Harley Davidson Asia Pasifik dalam mengembangkan jenama ini serta bakal membuka ruang pameran baharu di Pulau Pinang dan Melaka serta beberapa lokasi lain tahun ini,” katanya ketika perasmian pusat 3S hari ini.

Dalam majlis sama, empat model baru 2018 turut diperkenalkan iaitu Harley-Davidson Fat Bob, Breakout 114, Street Glide Special Anniversary, Ultra Glide Limited Anniversary yang berharga daripada RM128,000 hingga RM218,000.

“Semua rangkaian model baru akan dibawa masuk secara berperingkat ke pasaran Malaysia bagi memberi lebih pilihan dan menawarkan gaya hidup jentera dua roda premium,” tambahnya lagi.

Untuk mengukuhkan jenama dan pembabitan lebih dekat bersama pengguna, Grup Pemilik Harley-Davidson Petaling Jaya (H.O.G) ditubuhkan dalam menganjurkan aktiviti atau acara kepada pelanggan setia untuk setiap pengedar.

Pemilik sedia ada juga dijemput untuk melakukan pendaftaran dan pengaktifan secara percuma bagi tujuan servis dan jaminan tertakluk kepada terma dan syarat. – WD MY