LONDON, 9 Nov – Dihadapan Dalam Memerangi Keganasan………Kerajaan Malaysia bergerak ke hadapan bagi bertindak balas berhubung kisah pengganas dan ekstremisme terutama di alam siber melalui penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan strategik bagi bertindak balas ke atas golongan pelampau kerana menyedari pengganas memang cekap mereka cerita dan retorik untuk mempengaruhi pengguna media sosial.

“Cerita-cerita ini telah membanjiri alam siber dan mempengaruhi pengguna
media sosial untuk percaya bahawa cerita-cerita itu adalah benar, dan pengganas
itu berjuang atas nama agama,” katanya dalam ucapan alu-aluan dalam Perbincangan
Meja Bulat di Chatham House di sini.

Ucapannya yang bertajuk “Faham Ketenteraan dan Antikeganasan: Satu
Perspektif Malaysia”, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kisah
mengenai Islam perlu diceritakan semula bagi menyampaikan mesej jelas bahawa
pengganas adalah golongan kufur kerana ideologi agama mereka yang diputar belit
dan tindakan-tindakan itu membawa kepada kehilangan nyawa orang yang tidak
berdosa.

Bagi Ahmad Zahid, Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej itu
adalah bagi menyelaras usaha untuk bertindak balas terhadap mesej media sosial
yang radikal dan mengemukakan imej Islam sebenar di dalam dan di luar ASEAN.

Ahmad Zahid berkata pusat yang dikendalikan Polis Malaysia sejak September
2016 itu menggunakan kajian yang menggambarkan bahawa perjuangan kumpulan
militan Daesh itu bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

Katanya radikalisme akan terus menjadi kebimbangan utama kepada
agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia dan ia akan kekal sebagai satu
daripada ancaman yang kuat terutama melalui penggunaan meluas internet sebagai
alat bagi penyebaran ekstremisme yang ganas dan propaganda radikal.

Para penjenayah dan pengganas kini menggunakan platform komunikasi baharu
melalui rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, e-mel dan
malah melalui telefon pintar dalam WhatsApp dan Telegram sebagai satu jalan
untuk mengindoktrinasi dan menyebarkan mesej kebencian yang diputar belit,
katanya.

Malaysia percaya strategi penting untuk menangani golongan pelampau Islam
yang ganas adalah dengan menyingkirkan usaha memutar belit dan penipuan tentang
agama,” katanya sambil menambah Malaysia mempunyai sejarah panjang yang
menekankan mengenai kesederhanaan melalui amalan wassatiyah, satu perintah dalam
al-Quran.

Timbalan Perdana Menteri berkata strategi deradikalisasi Malaysia memerlukan
kerjasama strategik di antara kerajaan, pertubuhan awam, sektor swasta,
masyarakat tempatan dan masyarakat keseluruhan bagi menghalang individu atau
kumpulan daripada terbabit dalam kegiatan pelampau dan radikal di tanah air atau
di seberang laut, – WD MY