KUALA LUMPUR, 9 Dis – GESAAN….. Datuk Seri Najib Razak diminta memperjuangkan nasib Baitulmaqdis yang diiktiraf Amerika Syarikat sebagai ibu kota Israel.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut meminta semua ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bersama Perdana Menteri mendesak Presiden Donald Trump menarik balik pengiktirafan berkenaan sebelum tercetus konflik lebih besar.

“Kerana itu, Puteri menyokong tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia dalam mengecam tindakan melulu Presiden Amerika Syarikat itu.

“Kami juga menghargai tindakan Pemuda UMNO yang berhimpun dalam menyatakan solidariti umat terhadap tindakan gelojoh Trump. Perbuatan itu umpama melancarkan peluru berpandu ke tengah-tengah kota suci Baitulmaqdis.

“Puteri juga memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk memperjuangkan isu ini dalam Persidangan Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki,” katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017), di Dewan Merdeka, sebentar tadi.

Mas Ermieyati berkata ketegasan ditunjukkan Najib dalam isu terkini di Baitulmaqdis, jelas menunjukkan ‘Najibplomatik’ didasari prinsip kemanusiaan sejagat.

“Inilah bagi saya satu manifestasi politik wasatiyah yang menekankan kesederhanaan dan keseimbangan.

“Melalui dasar politik antarabangsa, Presiden (UMNO) kita tampak jelas mahu kekal berkecuali dan mahu berkawan dengan semua orang.

“Inilah inti Najibplomatik – suatu prinsip berkecuali yang menekankan hubungan seimbang antara semua negara.

“Kita telah lihat kesan positifnya bukan saja mampu mewujudkan suatu persekitaran politik yang aman pada peringkat serantau, malah memberikan kesan yang baik terhadap ekonomi negara kita,” katanya. -WD MY