KUALA LUMPUR, 9 Dis – Puteri Umno hari ini memohon pertimbangan pucuk
pimpinan parti untuk menambah calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam
kalangan anggota sayap itu bagi menyantuni golongan pengundi muda.

Anggaran 45 peratus daripada jumlah pengundi berumur bawah 35
tahun pada PRU14, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata
santunan anak muda perlu diambil kira sebagai satu daripada strategi utama pada
pilihan raya umum itu.

Menurut beliau sekiranya Barisan Nasional (BN) ingin menang dan memerintah
lagi, ia harus memberi isyarat yang ketara bahawa parti itu menyantuni golongan
tersebut.

“Menyantuni mereka bererti kita perlukan wakil-wakil yang dapat menyelami
kehidupan mereka secara dekat, memahami hasrat mereka secara tuntas dan menjiwai
wawasan mereka untuk masa depan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung
Pergerakan Puteri UMNO 2015 hari ini.

“Sekiranya fikrah ini diterima, Puteri UMNO Malaysia yakin ahli Puteri akan
lebih bermotivasi untuk mempergiatkan usaha mendaftarkan pengundi muda,”
katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY