KUALA LUMPUR, 14 April – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak hari ini mendapat sokongan padu daripada kepemimpinan Puteri UMNO.
Sokongan itu dinyatakan dalam majlis perjumpaan kepemimpinan Puteri bersama Najib selaku Presiden UMNO yang dihadiri 178 Ketua Puteri bahagian.
“Hidup PM” dilaungkan beberapa kali selepas Najib mengakhiri ucapan pada majlis yang diadakan secara tertutup itu.

Penjelasan Datuk Seri Najib selama kira-kira 45 minit membabitkan pelbagai isu termasuk 1 Malaysia Development Berhad (1MDB); wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu; ekonomi; dan kepemimpinan negara.

Pada sidang media selepas itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata penjelasan hari ini melengkapi penjelasan yang dibuat Khamis lalu dalam program Soal Jawab TV3 walaupun tidak terperinci.

Katanya, Perdana Menteri memberikan penerangan dan membuka ruang kepada setiap kepemimpinan untuk memahami erti cabaran pada hari ini.
“Sokongan yang dinyatakan Puteri hari ini dan sebelum ini bukan dilakukan secara membuta tuli.

“Saya optimis krisis antara Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat diselesaikan dengan baik tanpa wujud unsur yang boleh membantutkan usaha penyatuan daripada dalam,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya satu perjumpaan diadakan antara Najib dan Dr Mahathir bagi memastikan krisis tidak berterusan.

Manakala semalam, Pergerakan Pemuda UMNO turut berikrar memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Razak untuk turun padang memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata tiada sebab untuk sayap itu tidak bersama Perdana Menteri yang mahu mengukuhkan parti di semua peringkat.
Malah, beliau menegaskan, masalah yang timbul, termasuk sindrom penafian yang berlaku dalam kalangan pemimpin parti bukan masalah besar seperti krisis yang pernah dihadapi parti pada tahun 1998.

“Sokongan Pemuda bukan sokongan palsu kerana jika palsu pasti kita akan rebah pada pilihan raya akan datang.”Pemuda amat yakin dengan keupayaan Presiden parti yang berjaya memberi pencerahan satu demi satu isu yang dibangkitkan, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” -Faizal Dato Badarudin dan Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY