PUTRAJAYA, 29 Ogos – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Kementerian
Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke Putrajaya
kepada 10 juta menjelang tahun 2020.

Selaku Menterinya Tengku Adnan berkata ia selaras dengan usaha menjadikan pusat pentadbiran
kerajaan persekutuan itu sebagai destinasi utama pelancongan serta pusat penganjuran pelbagai
acara bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata jumlah kehadiran pelancong ke Putrajaya mencatatkan peningkatan sebanyak 41
peratus daripada 5.18 juta pada 2012 kepada 7.35 juta ketika ini.

Jumlah itu disumbangkan oleh peningkatan sebanyak 60 peratus pengunjung menginap di
hotel-hotel di Putrajaya, satu jumlah yang melebihi purata kenaikan dicatat di
negeri-negeri lain iaitu sekitar 23 peratus, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis meraikan ulang tahun
ke-20 penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana, lokasi yang mana majlis pecah
tanah projek pembangunan kawasan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri ketika
itu Tun Dr Mahathir Mohamed.

Majlis santai yang dimeriahkan dengan persembahan kombo Perbadanan Putrajaya
(PPj) serta sketsa itu turut diserikan dengan bacaan puisi “Dirgahayu Putrajaya”
oleh Presiden PPj, Datuk Hasim Ismail.

Tengku Adnan berkata bagi merealisasikan hasrat menarik lebih ramai
pelancong, beliau menyarankan PPj dapat memperbanyakkan aktiviti di sebelah
malam di Putrajaya.

“Kita harap penambahan aktiviti itu akan menarik pelancong untuk menginap di
hotel-hotel di Putrajaya sekurang-kurangnya dua malam…ini cabaran saya kepada
Datuk Hasim selaku Presiden PPj yang baharu,” katanya.- Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY