KUALA LUMPUR, 5 Dis – PWTC lebih sinonim nama kepada Pusat Dagangan Dunia Putra mula menjadi tumpuan apabila persiapan berjalan rancak dan beberapa program mula berlangsung menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-69 (PAU 2015), mulai Selasa ini.

Hari ini, dua program berlangsung iaitu Simposium Agroprenuer Muda dan
Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 3.0 2015 yang melibatkan pengusaha
sektor pertanian dan mahasiswa serta melibatkan beberapa pemimpin parti.

Sementara itu, kerja-kerja persiapan menghias dewan dan ruang di bangunan
PWTC dengan pelbagai panji-panji dan poster pemimpin UMNO yang terdahulu dan
kini.

Hamparan permaidani juga telah memenuhi setiap penjuru ruang PWTC membuatkan
keadaan dewan kelihatan eksklusif manakala tempat jamuan juga telah
dihiasi dengan pengalas meja berwarna merah.

Begitu juga persiapan bilik media yang sedang sibuk diurus oleh petugas
agensi masing-masing.

Bagi ruang pameran dan jualan, kiosk dan ruang niaga telah mula dipasang dan
sebahagian peniaga juga telah mula sibuk menyiapkan ruang niaga mereka
dengan produk jualan mereka.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata 80 peratus kerja-kerja
persiapan sudah selesai selepas segala urusan berjalan lancar mengikut
perancangan.

“Kita dalam peringkat membuat penambahbaikan sekiranya ada kekurangan bagi
pandangan urus setia dan mereka yang terlibat,” katanya ketika ditemui di sini.

Ab Rauf berkata lot jualan korporat telah habis ditempah malah terdapat
pertambahan sebanyak 400 buah gerai untuk produk industri perusahaan kecil dan
sederhana (PKS).

Beliau berkata perhimpunan kali ini akaan menyaksikan penglibatan sebanyak
2,792 perwakilan dari seluruh negara dan dijangka lebih 200,000 pengunjung akan
hadir di PWTC sepanjang persidangan lima hari itu.

Ab Rauf berkata buat pertama kali dalam sejarah PAU, sebuah parti politik
dari Amerika Syarikat akan turut mengikuti persidangan tersebut. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY