KUALA LUMPUR, 29 Nov – Siap Sedia Terima Tetamu…. Pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersedia menerima kedatangan 5,738 perwakilan dan tetamu yang akan hadir sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 bermula hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Shamsul Kamar Ahmah,  pihaknya mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan terperinci dan gerak kerja sudah bermula secara berperingkat sejak enam bulan lalu.

“Mesyuarat teknikal diadakan seminggu sekali bagi ketua jabatan membincangkan setiap keperluan dan perjalanan kerja operasi.

“Pihak pengurusan akan memastikan setiap persiapan dan perancangan berjalan lancar dan sempurna seperti yang dirancang,” katanya.

Shamsul berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan memberi taklimat kepada media mengenai persiapan sempena perhimpunan agung itu di sini, hari ini.

Terdahulu, pihak media turut dibawa melawat beberapa lokasi persiapan antaranya dapur penyediaan makanan untuk perwakilan dan tetamu, ruang makan, kafe serta Dewan Merdeka.

Shamsul berkata, kakitangannya teruja dalam membuat persiapan dan menyambut semua perwakilan serta tetamu yang hadir.

“Saya berbangga dengan sikap mereka yang memberikan komitmen 100 peratus untuk menjayakan perjalanan perhimpunan ini.

“UMNO mahu perjalanan perhimpunan ini berjaya. Justeru, kami akan memastikan ia akan tercapai seperti yang diharapkan,” katanya. – WD MY