KUALA LUMPUR, 13 Julai – Gantung Sebulan….Operasi perkhidmatan Qistna Express Sdn Bhd, pengendali bas ekspres yang terbabit dengan kemalangan di kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora Ahad lalu digantung selama sebulan berkuatkuasa serta merta.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata penggantungan itu membabitkan lesen serta 26 permit bas yang dipegang oleh Qistna Express.

Katanya, tindakan itu diambil akibat pelanggaran syarat-syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD terhadap syarikat berkenaan bertarikh 12 Julai 2016.

“Tindakan ini diambil sementara menunggu hasil siasatan daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan.

“Kita ingin menegaskan sekali bahawa SPAD memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres,” katanya.

Dalam kejadian petang Ahad lalu, bas ekspres Star Qistna yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur merempuh 10 kenderaan di lokasi berkenaan, menyebabkan seorang cedera.

Mohd Azharuddin berkata, pihaknya percaya tindakan terhadap Qistna Express itu akan menjadi peringatan tegas kepada pengendali bas ekspres lain untuk memastikan mereka mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD pada setiap masa bagi mengutamakan keselamatan pengguna.

Katanya, SPAD juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pengendali bas mengoperasikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya. – WD MY

LEAVE A REPLY