SEREMBAN, 16 Okt – DAKWAAN…… Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

“Ada perkara yang buat saya tidak tidur lena (selepas melalui pemilihan di enam negeri). Minggu depan (Sabtu ini), saudara-saudara akan bersaing dalam peringkat cabang dalam satu suasana yang tidak pernah kita tengok… dengan wang bertaburan di bawah.

“Anda akan berhadapan saingan peringkat cabang yang ada (pihak) sumbangkan wang (kepada) satu cabang RM100,000, RM200,000 untuk berdepan saudara-saudari.

“Ada tempat di negeri lain yang (pemilih) ditawarkan satu undi RM100. Saya sebut awal-awal supaya anda semua jangan terkejut.

“Sebab itu (ada pihak) buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (Ada yang tawarkan) undi akan dapat projek,” dakwanya ketika berucap kepada penyokongnya pada majlis amanat sempena Pemilihan PKR malam tadi.

Rafizi mendakwa, ahli PKR yang mudah terpengaruh adalah golongan muda yang tidak melalui zaman sukar parti itu dan pihak yang menggunakan wang juga biasanya ‘orang muda’ yang datang dengan poket penuh dan tebal.

Sementara itu, Rafizi turut menasihatkan penyokongnya supaya bersedia dengan provokasi pihak tertentu yang datang dari luar yang berniat mencetuskan kekecohan jika undian tidak memihak kepada pasukan mereka.

Pada pemilihan ini, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, menentang penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Pemilihan di Negeri Sembilan yang membabitkan lapan cabang akan berlangsung serentak Sabtu ini. – WD MY