KUALA LUMPUR, NOVEMBER 27: MEDIA SOSIAL…Rafizi Ramli semalam memuji bekas perdana menteri Najib Razak sebagai lebih mahir dengan penggunaan media sosial berbanding kebanyakan ahli politik Malaysia yang lain.

“Suka atau benci dia (Najib), dengan bercakap dan berkomunikasi, kehadirannya dalam media sosial mempunyai kesan paling ketara berbanding yang lain,” kata bekas naib presiden PKR itu melalui Twitter.

Rafizi juga sempat mengingatkan agar “penyokong tegar dan pembenci” tidak memutar belit kenyataannya itu.

“Media sosialnya lebih mempunyai pengaruh kebelakangan ini. Dan nampaknya tak ada sesiapa dalam Pakatan Harapan (PH) yang peduli,” katanya.

Najib setakat ini mempunyai kira-kira 3.5 juta pengikut di Facebook, lebih empat juta pengikut di Twitter dan lebih 500,000 di Instagram.

Bekas presiden Umno itu semakin kerap berkongsi pandangannya dalam pelbagai hal di Facebook, yang turut dikongsi di Twitter.

Antara yang sering disentuh dalam kenyataannya adalah berhubung dakwaan penyelewengan dan skandal 1MDB yang dikaitkan dengannya.

Setiap kiriman di Facebook mendapat ribuan reaksi dan komen, termasuk daripada mereka yang menyokong dan mengkritik Najib.

Najib tidak begitu aktif di Instagram, namun beliau dilihat sering berkongsi sisi peribadinya, termasuklah kucing kesayangannya, Kiky.-MY WD